Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjadi penentu bila liga bola sepak Malaysia boleh bersambung atas nasihat serta garis panduan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Saingan bola sepak di Malaysia serta di seluruh dunia terpaksa ditangguh ekoran penularan wabak covid-19 yang sudah merekodkan lebih daripada dua juta kes positif virus tersebut.

Ketika ini, sebarang keputusan mengenai bersambungnya saingan bola sepak tempatan haruslah menerusi MKN yang bakal menentukan garis panduan yang selamat bagi setiap individu.

"Setiap keputusan haruslah melalui saranan daripada pihak MKN dan kami daripada pihak KKM membuat mesyuarat setiap hari dalam mendapatkan keputusan yang terbaik bagi menangangani Covid-19," kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah.

"Ini merupakan keputusan yang perlu dihormati oleh semua pihak. Pihak persatuan akan memberikan maklumat yang sewajarnya kepada kita semua," kata jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan.

"Sememangnya sebagai pemain, kami semua mahu kembali ke gelanggang namun dalam keadaan serta situasi yang dihadapi ini, kita semua harus kekal dan mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan," kata pemain Selangor, Wan Zack Haikal Wan Noor.