Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, menyifatkan situasi Bundesliga di Jerman sebagai normal baru bola sepak menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan gara-gara penularan wabak novel koronavirus (Covid-19).

Beliau tidak menolak kemungkinan senario sama akan dilalui pemain dalam kancah tempatan sekiranya Liga Malaysia (Liga-M) kembali bersambung September depan.

"Apabila saya tengok perlawanan (Bundesliga) itu, saya rasa pelik tanpa penyokong tetapi itulah yang harus dibuat kerana Covid-19.

"Tetapi Liga-M akan dimainkan September depan, jadi ketika itu mungkin bermacam-macam perkara yang sudah dibenarkan oleh kerajaan," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Terdahulu, MFL merancang bagi meneruskan kempen Liga-M 2020 mulai 1 September sambil kesemua pasukan bertanding dibenarkan untuk kembali menjalani sesi latihan sebulan lebih awal.

Perancangan itu dibuat selepas kerajaan tidak meluluskan permohonan MFL untuk menyambung semula saingan berkenaan pada Ogos dan sesi latihan dijalankan pada Julai.

Menyambut baik pendekatan Bundesliga dalam meneruskan perjuangan kancah tempatan, Ghani beranggapan perkara itu juga tidak mustahil boleh dilakukan di Malaysia menerusi disiplin tinggi pemain dan pegawai pasukan.

"Kerajaan menyarankan normal baru tetapi apa yang penting adalah tindakan setiap individu dan rakyat di negara ini, barulah rantaian Covid-19 ini boleh diputuskan.

"Pemain bola sepak begitu juga, mereka perlu ada disiplin," tambahnya.

Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, menganggap perlawanan liga utama Eropah awal pagi tadi sebagai penanda aras kepada perlawanan kompetitif di dunia untuk kembali bersambung.

"Bundesliga adalah contoh terbaik yang perlu diikuti, semua pihak perlu patuhi SOP yang ditetapkan.

"Saya optimis semua pasukan mampu mematuhinya," kata beliau.