Covid-19: Liga-M masih ada peluang diteruskan 

Oleh Shaiful Shamsudin 29 April 2020 93
Covid-19: Liga-M masih ada peluang diteruskan 
Semakin hari, semakin cerah peluang Liga Malaysia (Liga-M) untuk diteruskan, namun bukan dalam masa terdekat.

Terbaru, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan perbincangan akan diadakan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung masa depan saingan tempatan itu, yang tertangguh sejak pertengahan bulan lalu akibat penularan koronavirus baru (Covid19) musim ini.

"Kami sudah menerima permohonan daripada menteri belia dan sukan untuk memutuskan status bola sepak (Liga-M), adakah ia boleh atau tidak untuk diteruskan kerana seperti yang saya umumkan (terdahulu), ia tidak boleh diadakan dalam masa terdekat. 

"Semuanya akan dibincangkan esok," katanya dalam Sidang Media Harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini. 



Semalam, Ismail Sabri menyatakan Liga-M mungkin boleh berlangsung pada Oktober atau November, namun hari ini beliau memberi bayangan ia berpeluang untuk bersambung pada Ogos atau September depan.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi, perkara itu diharap dapat dipertimbangkan kerajaan dalam usaha menyelamatkan industri bola sepak tempatan.

Mengikut perancangan terbaru penganjur Liga-M itu, Ogos adalah bulan terakhir untuk menyambung kembali saingan domestik dengan membabitkan baki perlawanan Liga Super dan Liga Perdana selain Piala Malaysia, sambil salah satu pertandingan akan diubah format tatkala saingan Piala FA tidak diadakan.

"Sebelum ini kami sudah merangka beberapa pilihan tetapi hari ini kami boleh dikatakan tinggal satu sahaja berpandukan kepada kenyataan menteri kanan kluster keselamatan.

"Ini bermakna Liga-M tidak dapat dilaksanakan pada Jun,  kalau ada pilihan sekalipun adalah Julai atau Ogos depan.

"Jadi kita tunggu sahajalah kenyataan (terbaru) daripada menteri kanan kluster keselamatan, sama ada ia dapat diteruskan atau perlu dibatalkan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya ketika dihubungi. 

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen