Pertahanan Petaling Jaya City FC, Fitri Omar, tidak mahu melihat pandemik Covid-19 sebagai penyebab untuk dia mengumumkan persaraan.

Sebaliknya, dugaan yang diterimanya saban tahun sebagai pemain bola sepak telah menguatkan dirinya untuk terus percaya bahawa masih ada ruang untuk dia berkhidmat.

Perjalanan selama empat ke lima tahun ini telah mematangkannya dan bekas pemain kebangsaan itu masih belum terfikir untuk menggantungkan kasutnya.

Sejak dilepaskan Pulau Pinang pada 2016, Fitri mengakui bahawa perjalanan kariernya ibarat mendaki ranjau yang sukar memandangkan ia fenomena yang perlu dilalui pemain yang sudah berusia sepertinya.

Namun, dalam usia 35 tahun, dia masih dapat mengekalkan dirinya sebagai pemain utama dalam setiap pasukan yang disertainya.

"Kalau saya tidak boleh terus berkhidmat sebagai pemain bola sepak, mungkin saya akan menjadi jurulatih.

"Tetapi Insya-Allah, saya tidak akan bersara daripada bola sepak.

"Saya mengingati setiap kejayaan yang pernah diraih sebelum ini.

"Selalunya perkara seperti itu akan menjadikan saya lebih kuat untuk berlatih dan bersemangat untuk melaluinya setiap hari walaupun sudah berumur 35 tahun.

"Saya rasa saya masih boleh berlari dengan pemain-pemain muda," katanya.

Mengenai kesan penangguhan liga berikutan pandemik Covid-19, Fitri menambah: "Kesan itu ada kerana ia merupakan periuk nasi kami.

"Jika tiada liga musim ini, saya tidak tau apa yang akan berlaku, semua (pemain) akan berdepan masalah."