Bakal penolong jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, bersedia memberi kerjasama kepada sesiapa sahaja yang akan memegang tampuk utama barisan kejurulatihan skuad kebangsaan yang akan diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat.

Ketika nama Mario Gomez semakin jauh daripada skuad kebangsaan, ramai mula tertanya-tanya adakah benar Cheng Hoe merupakan pilihan utama yang diusulkan bekas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Gomez sendiri menafikan Cheng Hoe selaku pilihan yang dibuatnya dan pelantikan Cheng Hoe sendiri meninggalkan pelbagai spekulasi daripada semua pihak.

Ketika ditanya, pengendali Kedah itu bersikal profesional dan tidak terkesan dengan kenyataan terbaru daripada Gomez.

Sebaliknya, Cheng Hoe menegaskan kehadirannya adalah dengan misi membantu skuad negara, malah dia tidak memilih dengan siapa dia akan bekerjasama.

"Saya akan memberikan (khidmat) yang terbaik kepada sesiapa pun yang dilantik ketua jurulatih kerana itulah tugas sebagai pembantu jurulatih.

"Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa pun," katanya.

Surat tawaran daripada FAM telah diterima Cheng Hoe pada 5 April lalu.Dia sedang menunggu keputusan akhir membabitkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan FAM sebelum kembali ke badan induk itu dengan misi baru.

Pertemuan skuad negara dengan Korea Utara pada Jun depan merupakan tugasan pertama Cheng Hoe bersama Harimau Malaya.

"Saya masih lagi jurulatih pasukan Kedah sehingga menerima berita terbaru daripada FAM.

"Ia bergantung kepada perbincangan FAM dengan KFA demi kepentingan pasukan kebangsaan."