Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, memberi isyarat bersedia untuk terus memacu juara Piala Malaysia, Kedah, bagi mengharungi musim yang lebih mencabar tahun depan biarpun masih belum ditawarkan kontrak baru oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

“Sebagai jurulatih profesional, saya bersedia dengan apa jua keputusan yang bakal diambil oleh majikan (KFA).

“Cuma, saya bersedia untuk terus membimbing skuad Lang Merah jika masih diberi kepercayaan dan yakin kami masih mampu mencipta lebih banyak kejayaan pada musim depan,” katanya.

Cheng Hoe juga menyifatkan kejayaan Kedah menjulang Piala Malaysia edisi ke-90 sebagai melengkapkan prestasi konsisten anak buahnya sepanjang musim 2016 dan berharap pencapaian terbaik itu mampu dikekalkan.

“Satu musim yang menakjubkan untuk kami biarpun ada sedikit masalah pada awal musim. Pemain memberi persembahan terbaik untuk bersaing dalam Liga Super sehingga mampu muncul sebagai pasukan ketiga terbaik.

“Kemuncaknya, kami tidak perlu menunggu lama untuk mendakap Piala Malaysia selepas setahun dikecewakan oleh Selangor.

"Pemain cepat melupakan kekalahan lama dan beraksi lebih baik untuk menjulang piala keagungan itu tahun ini dengan mengalahkan Red Giants melalui sepakan penalti (6-5)."

Cheng Hoe, yang juga sebahagian daripada skuad Hijau Kuning yang menjulang Piala Malaysia pada tahun 1990, menyifatkan sokongan padu penyokong sebagai motivasi terbaik Kedah untuk terus melakar kejayaan.

“Anda (media) boleh tengok bagaimana sokongan padu yang hebat daripada penyokong Hijau Kuning yang sanggup membanjiri Stadium Shah Alam untuk menyokong kami.

“Kami sangat terharu dan berharap sokongan ini berterusan kerana mengekalkan kejuaraan lebih sukar daripada memburunya," tambahnya.