"Semua ini berkat tunjuk ajar sifu (guru) saya." Itu luahan penerima Anugerah Jurulatih Terbaik 2016, Tan Cheng Hoe, dari Kedah merujuk kepada bekas jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal, yang dianggap sebagai pemangkin kejayaannya.

Cheng Hoe nampaknya tidak mensia-siakan tempoh hampir tujuh tahun berguru di bawah bimbingan Rajagobal yang banyak mematangkan karier kejurulatihannya.

Tidak hairanlah nama Rajagobal antara yang disebut Cheng Hoe ketika ditemui wartawan sebaik namanya dinobatkan jurulatih terbaik 2016.

"Saya berterima kasih kepada sifu saya, iaitu Datuk K. Rajagobal yang banyak memberi nasihat kepada saya untuk mengurus sesuatu pasukan.

"Kadang-kadang kami berbual menerusi telefon dan sudah tentu saya juga mendapat pandangan daripada beliau," ujarnya.

Bagi Cheng Hoe, dia sendiri tidak mengimpikan untuk berada pada kedudukannya ketika ini, apatah lagi pencalonan jurulatih terbaik begitu sengit dengan nama-nama besar seperti Mario Gomez, Irfan Bakti Abu Salim, Mat Zan Mat Aris dan E. Elavarasan.

Jodoh Cheng Hoe masih bersama skuad Helang Merah musim depan apabila memeterai kontrak selama setahun dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), baru-baru ini.

Jurulatih kelahiran Kedah itu turut lega apabila kelibat Pemain Pertahanan Terbaik 2016, Rizal Ghazali, yang diintai Felda United sebelum ini memilih untuk terus memperkuatkan pasukan itu.

"Perjanjian kontrak di antara Rizal dan Kedah hampir dimuktamadkan untuk musim 2017. Itu terserah kepada pengurusan dan saya menganggap kes ini sudah selesai.

"Saya gembira kerana Rizal masih dapat bersama pasukan Kedah untuk musim 2017."