Chantha Bin, Hyeon-woo perkemas jentera tengah TFC I

Oleh Tengku Danish Bahri 5 Disember 2017 1679
Chantha Bin, Hyeon-woo perkemas jentera tengah TFC I
Terengganu FC (TFC) I melengkapkan kemasukan dua awang import baharu, Kim Hyeon-woo dan Thierry Chantha Bin untuk saingan Liga Malaysia, musim depan.

Dua pemain tengah itu menandatangani kontrak semusim bersama TFC I, hari ini, sekaligus memperkemaskan jentera tengah skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu.

Prestasi cemerlang Hyeon-woo bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) musim ini, disifatkan Irfan sebagai faktor utama dia dipilih menganggotai pasukannya.

“Saya dah tengok cara dia (Hyeon-woo) bermain dan corak permainannya sesuai dengan rentak Terengganu.

“Thierry (Chantha Bin) pula berpengalaman selaku kapten skuad kebangsaan Kemboja, malah boleh beraksi di bahagian tengah dan pertahanan,” katanya.

Kehadiran dua pemain itu menyaksikan TFC I diperkuatkan empat tonggak import selepas Kipre Tchetche dikekalkan serta Lee Andre Tuck yang menandatangani kontrak dua tahun.

Seorang lagi pemain pertahanan kelahiran Serbia, Igor Zonjic, hanya akan hadir selepas selesai tugas bersama kelabnya, FK Rad, dalam Liga Serbia yang berbaki dua perlawanan.

“Barisan pemain 2018 lebih mantap dan saya yakin sasaran tiga terbaik Liga Super serta menyamai pencapaian semi finalis Piala FA boleh dicapai,” tambah Irfan.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen