Bukan jodoh saya bersama Perak -- Sathianathan

Oleh Penulis Jemputan 3 November 2018 15593
Bukan jodoh saya bersama Perak -- Sathianathan
"Bukan jodoh saya dengan Perak." Demikian luahan jurulatih berpengalaman, B. Sathianathan, yang mendedahkan bahawa dia hampir pasti mengendalikan The Boss Gaurus musim depan sebelum Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengambil keputusan mengekalkan Mehmet Durakovic selaku ketua jurulatih.

Situasi itu sedikit-sebanyak mengecewakan Sathianathan yang terlepas peluang untuk berbakti kepada negeri kelahirannya buat kali pertama selaku jurulatih.

Bagaimanapun, dia mampu menerima dengan rasional keputusan PAFA itu memandangkan Durakovic berjaya membawa pulang trofi Piala Malaysia buat Perak selepas tempoh 18 tahun.

"Saya dilahirkan di Perak tetapi itulah lumrah dalam bola sepak.

"Jika saya dalam pengurusan tertinggi Perak sekalipun, saya akan mengekalkan Mehmet kerana dia seorang jurulatih yang baik dan berjaya membawa pulang trofi.

"Benar, saya banyak mengkritik jurulatih luar sebelum ini, namun dengan standard yang ditunjukkan Mehmet, itu membuktikan bahawa dia sememangnya seorang jurulatih yang berkualiti," katanya. 

Sathianathan, yang sebelum ini menolak tawaran lanjutan kontrak bersama Felda United, mengakui dia sudah ada perancangan tersendiri jika gagal mendapatkan mana-mana pasukan musim depan.

Antaranya adalah meneruskan klinik bola sepak di peringkat akar umbi dan mengendalikan kursus kejurulatihan.

Namun, dia masih berharap akan mempunyai pasukan untuk dilatih musim depan memandangkan namanya berada dalam radar pasukan Selangor dan Kuala Lumpur. 

"Saya ada mendapat tawaran melalui ejen pasukan-pasukan daripada Lembah Klang, namun belum ada perbincangan lanjut bersama pasukan tersebut," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen