"Kami bermain di bawah tahap sebenar," kata jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, selepas mereka sekadar seri 1-1 dengan PKNP FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Mora juga menganggap nasib tidak menyebelahi pasukan Harimau Selatan itu apabila empat percubaan pemainnya terkena tiang serta palang gol pasukan tuan rumah itu.

"Kami kurang bertuah kali ini kerana empat kali percubaan kami terkena tiang dan palang selain satu sepakan penalti juga gagal memasuki gawang lawan.

"Tapi kami masih lagi di kedudukan pertama serta membawa pulang satu mata, itu yang penting," katanya.

Menurut Mora lagi, secara keseluruhannya dia berpuas hati dengan gaya permainan yang dipamerkan anak buahnya itu walaupun mereka terpaksa bermain dengan 10 pemain dalam separuh masa kedua.

Dalam perlawanan tersebut, Diogo Luis Santos menjaringkan gol pertama menerusi sepakan kencang yang menewaskan penjaga gol PKNP FC, Khairul Thaqif Shah, pada minit keempat.

Bagaimanapun, PKNP FC menyamakan kedudukan melalui pemain importnya, Ramon Da Silva Costa, yang menerima hantaran rakan sepasukan, Giancarlo Lopes Rodrigues, pada minit ke-14.

JDT berpeluang menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-54 selepas Mohamad Hafiz Ramdan menjatuhkan S Kunanlan dalam kotak penalti, namun sepakan Gonzalo Cabrera tersasar.

Aksi dalam perlawanan itu turut dicemari insiden layangan kad merah apabila pemain JDT, Mohd Afiq Fazail, diarah keluar padang selepas mengasari Pedro Victor Calil Sandoval pada minit ke-76.