Brendan untuk Selangor? 

Oleh Staff Writer 21 November 2019 17360
Brendan untuk Selangor? 
Pemain tengah negara, Brendan Gan, menjelaskan dia masih memerlukan masa untuk membuat keputusan akhir bagi menetapkan destinasi seterusnya selepas dikhabarkan bakal menyertai Selangor bagi saingan Liga Malaysia musim 2020.

Desas-desus yang menyebut pemain itu sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi kemunculan bersama skuad Gergasi Merah itu musim depan gagal disahkan pemain itu sendiri.

Menurutnya, perbincangan serius sememangnya ada tetapi dia masih memerlukan masa sebelum membuat keputusan sebenar bagi menentukan hala tujunya musim depan.

"Ia adalah keputusan yang sukar. Saya memiliki banyak kenangan bersama Perak," katanya. 

"Saya akan berfikir panjang sebelum membuat keputusan yang tepat."

Pemain kelahiran Australia itu, yang menampilkan aksi cemerlang ketika membantu skuad Malaysia melakar kemenangan ke (atas) Thailand dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Khamis lalu, nampaknya enggan terburu-buru dalam memberikan sebarang jawapan.

Apa tidaknya, selain Selangor, terdapat beberapa pasukan lain juga serius mahu mendapatkan khidmat pemain berumur 31 tahun itu demi memperkuatkan pasukan musim depan.

"Terdapat beberapa pasukan menjadi pilihan saya dan pengumuman akan dilakukan selepas saya mengesahkan destinasi saya yang seterusnya," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen