Pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan, sedia merealisasikan keinginan skuad Gergasi Merah untuk menjadi pasukan pencabar utama menjelang Liga Malaysia musim 2020.

Brendan yang sebelum ini beraksi bersama Perak turut dikaitkan dengan beberapa pasukan seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah dan Pahang.

Penglibatannya bersama skuad The Bos Gaurus sepanjang dua musim menyaksikan mereka membawa pulang Piala Malaysia 2018 selepas menewaskan Terengganu.

Meskipun bukan keputusan yang mudah diputuskan, namun dia optimis keberadaannya bersama jentera skuad kendalian B. Sathianathan itu kali ini mampu membawa mereka menjulang trofi Liga Super musim ini.

"Saya rasa kami memiliki pasukan yang bagus. Seluruh skuad sangat ampuh, ditambah dengan beberapa nama baru. Ia membuatkan kami yakin bagi musim ini dan apabila anda menyarung jersi Selangor, harapan semakin besar perlu digalas," katanya.

Sementara itu, Brendan menegaskan kewujudannya dalam pasukan itu bukan untuk mencabar rakan sepasukan, sebaliknya menjadi tonik tambahan buat pasukan gergasi Lembah Klang itu dalam menghadapi persaingan yang sihat.

"Bercakap soal bilik persalinan, ia bukan satu pasukan jika tidak melibatkan cabaran. Anda perlu mencabar bagi mendapatkan aksi terbaik dan ia memberikan kebaikan kepada pasukan. Saya akan lakukan yang terbaik, begitu juga dengan pemain lain. Ia bukan mengenai kami tetapi pasukan."