Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, sedang mengintai kudrat pemain import dari Amerika Selatan untuk mengisi kuota tiga pemain import bagi membantu Terengganu musim hadapan.

Irfan berasa corak pemainan dari benua itu sesuai dengan kualiti yang dimiliki pemain tempatan ketika ini.

Lantaran itu, Irfan bakal berangkat ke Amerika Selatan minggu ini untuk melihat sendiri prestasi pemain yang akan bersama Terengganu musim hadapan.

Difahamkan, tiga pemain dari Argentina, Brazil dan Costa Rica berada dalam radar Irfan sebelum membuat kata putus.

"Saya inginkan pemain yang boleh bermain bola sepak bukan mengikut cara Eropah tetapi pada sama bersesuaian dengan pemain yang saya ada di Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, merujuk kepada kelibat Issey Nakajima, Irfan terpaksa akur dengan situasi di mana kontrak pemain berdarah campuran Jepun-Kanada itu masih berbaki setahun.

"Kontrak Issey masih berbaki setahun, jadi saya akan berbincang dengan pihak pengurusan kerana saya harus teliti posisi yang dia akan beraksi.

"Ini kerana musim lalu dia bermain di bahagian sayap tetapi musim ini saya memiliki tiga hingga empat pemain tempatan yang boleh beraksi di posisi itu," tambahnya.

Kelibat Irfan di Terengganu turut menampilkan tiga muka baru -- bekas pemain Felda United, Adib Aizuddin, Syukor Jusoh dan Firdaus Fauzi selain Latif Suhaimi dari PDRM.

Anda juga boleh mendapat berita ini melalui Stadium Astro app. Muat turun sekarang https://www.stadiumastro.com/ms/mobile-app