Bisikan bilik persalinan bangkitkan kemenangan Sarawak

Oleh Rudi Affendi Khalik 28 September 2017 2171
Bisikan bilik persalinan bangkitkan kemenangan Sarawak
Bisikan Pengiran Bala pada waktu rehat memandu kebangkitan skuad Sarawak untuk berpeluang kekal dalam Liga Super biarpun sebelumnya ketinggalan dua gol kepada Kedah di Stadium Negeri, malam tadi.

Sebelumnya, skuad Bujang Senang ini perlu mengakui skuad Helang Merah berada dalam kelas tersendiri, terutama daripada aspek kawalan dan sentuhan bola.

Gol pertama pelawat dihadiahkan oleh Ken Ilso Larsen yang memanfaatkan hantaran Mohd Syazwan Zainon pada minit ketujuh.

Kurang 10 saat menuju rehat, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, menghilangkan selera penyokong Ngap Sayot apabila menanduk tepat ke penjuru kiri gawang Mohd Shahril Sa'ari, juga hasil hantaran bijak Mohd Syazwan.

Selepas 15 minit rehat, bisikan Pengiran membentuk semangat baharu skuad Bujang Senang hingga membolehkan mereka merapatkan defisit gol melalui Nur Shamie Iszuan Amin.

Shamie meledakkan tendangan ke penjuru kiri gawang Kedah susulan hantaran Mateo Roskam ketika aksi berusia 53 minit.

Lima minat berselang, tindakan penjaga gawang Kedah, Mohd Ifwat Akmal, melambat-lambatkan permainan memakan diri, apabila sepakan percuma selepas itu menghadiahkan penalti kepada Sarawak kerana tertampan tangan pertahanan Kedah pada minit ke-58.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Roskam untuk gol penyamaan Sarawak,  sekali gus meranapkan semangat juang Kedah.

Roskam kemudian sekali lagi muncul wira apabila melakukan rembatan kemas pada minit ke-63 untuk Sarawak mendahului 3-2.

Kedah cuba bangkit, namun tekanan menyebabkan pasukan itu menjadi semakin tidak menentu.

Kesannya, pada minit ke-74, Baddrol menerima kad merah setelah bersalah menyiku Shamie.

Situasi ini dimanfaatkan oleh kapten Sarawak, Hairol Mokhtar yang menanduk masuk sepakan sudut Shamie pada minit ke-76 untuk melebar jurangkan gol.

Ini kemenangan kedua Sarawak di tempat sendiri dan lebih penting di bawah kendalian Pengiran Bala.

Mereka perlu menunggu 90 minit lagi dengan aksi terakhir menentang T-Team pada 28 Oktober sebelum mengetahui kedudukan dalam Liga Super pada musim depan.

Tentang Penulis

Rudi Affendi Khalik

Komen