Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani IIias Khan, menyifatkan dirinya sudah menunaikan janji dengan membayar tunggakan gaji pemain dan pegawai The Red Warriors (TRW) bagi bulan Julai dan Ogos.

Katanya, pembayaran gaji tertunggak ini diharap mampu memberi lebih motivasi pemain dalam usaha memastikan kemenangan TRW ke atas PKNS FC pada Rabu ini, sekaligus mencerahkan peluang kekal dalam saingan Liga Super, musim depan.

“Saya sudah tunaikan janji untuk membayar tunggakan gaji dan kini giliran mereka pula memberikan aksi terbaik di atas padang memburu kemenangan ke atas PKNS FC.

“Pembayaran ini juga bermakna KAFA sudah tidak berhutang dengan pemain dan pegawai skuad Kelantan pada musim ini,” katanya dalam majlis pembayaran gaji, hari ini.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan bayaran tunggakan gaji pemain tidak didedahkan.

Ditanya adakah KAFA menyediakan sebarang ganjaran kepada pemain jika dapat memastikan Kelantan kekal dalam saingan Liga Super, tahun depan, Bibi menjelaskan belum memikirkannya sebaliknya mahukan pemain memberi fokus untuk menghadapi dua perlawanan yang cukup penting.

“Kami belum memikirkannya (ganjaran) tetapi buat masa ini saya mahukan pemain TRW kekal fokus bagi menghadapi baki dua perlawanan yang cukup penting,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Bibi Ramjani tidak mahu polemik penukaran nama TRW berpanjangan sebaliknya berharap semua pihak memberi fokus dalam usaha KAFA kekal dalam saingan Liga Super, musim depan.

“Hentikan isu penukaran nama TRW. Fokus kita sekarang mahu TRW kekal dalam Liga Super,” katanya.