Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani IIias Khan, berharap semua pemain The Red Warriors (TRW) dapat melupakan seketika isu tawaran lumayan daripada persatuan lain, sebaliknya kekal fokus terhadap perlawanan terakhir Liga Super menentang Melaka United (MU) di Stadium Hang Jebat, 28 Oktober, ini.

Biarpun mereka menerima tawaran lumayan, katanya, tanggungjawab membantu pasukan Kelantan untuk memenangi perlawanan terakhir bagi memastikan TRW kekal dalam saingan Liga Super musim depan hendaklah dutunaikan.

“Saya harap pemain yang menerima tawaran beraksi dengan pasukan lain supaya bersabar kerana mereka masih mempunyai kontrak dengan KAFA. Jangan buat apa-apa keputusan lagi.

“Sepatutnya pemain perlu fokus untuk menghadapi perlawanan terakhir musim ini menentang Melaka United di gelanggang lawan,” katanya.

Ditanya KAFA masih berminat untuk mengekalkan pemain muda yang beraksi cukup cemerlang membantu TRW musim ini, Bibi Ramjani menjelaskan pihaknya akan menyemak dahulu baki kontrak yang ada sebelum mengambil tindakan susulan.

“Saya telah meminta Setiausaha Agung KAFA (Hussain Deraman) menyemak semua kontrak pemain TRW, termasuk pemain muda yang berbakat besar.

“Kami telah melakukan perbincangan dan pertemuan dengan beberapa pemain muda untuk mendengar sendiri masalah dan pandangan mereka sebelum sebarang keputusan rasmi dilakukan,” katanya.

Untuk rekod, seramai sembilan bintang muda dalam skuad TRW dan The President Warriors (TPW) memiliki kontrak bersama KAFA sehingga November depan, sekaligus membolehkan mereka bebas untuk mengadakan sebarang perbincangan untuk mewakili pasukan baru pada musim 2018.

Antara pemain muda yang menarik minat pasukan lain termasuk pertahanan kental, Mohammad Qayyum Marjoni Sabil, Mohd Daniel Asyraf Abdullah, penjaga gol, Ahmad Syihan Azmi Mohamed, dan Mohd Faris Shah Rosli.