David Usop menyerahkan kepada budi bicara pengurusan baharu Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) untuk menentukan hala tuju pasukan yang akan dibentuk dan kedudukan dirinya bagi mengharungi Liga Super pada musim depan.

"Saya percaya mereka mempunyai perancangan sendiri dan perbincangan di antara kami hanya akan berlaku selepas perlawanan ini," katanya.

David ditemui selepas perlawanan terakhir Liga Super membabitkan Sarawak dan PDRM malam semalam.

Dalam pertembungan tersebut, Sarawak mengutip tiga mata berharga dengan jaringan 2-1, yang mengesahkan kedudukannya dalam Liga Super pada musim depan.

Kekalahan itu bagaimanapun membawa nasib berbeza kepada PDRM apabila terpaksa turun ke Liga Perdana, biarpun mendahului pada awal perlawanan malam semalam.

Mengulas aksi tersebut, David menyifatkan kehilangan fokus sekali lagi menjadi kendala utama dalam pasukan pimpinannya.

"Mereka hilang tumpuan mungkin kerana terlalu lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetetif.

"Ia berbeza dengan pasukan PDRM. Kerana itu PDRM dapat menterjemahkan peluang dan mencipta gol lebih awal," tambahnya.

Namun David bersyukur kerana komitmen pemain yang sentiasa tinggi berjaya menyamakan kelebihan lawan, sebelum menyumbat gol kemenangan pada minit ke-80 menerusi penyerang muda Nur Shahmie Iszuan.

David Usop mengambil alih teraju pasukan pada pertengahan musim ini daripada Datuk K Rajagobal yang berhadapan siri kekalahan pada awal musim.

Ia merupakan kali kedua David muncul sebagai "penyelamat", selepas musim sebelumnya, skuad Ngap Sayot membuat keputusan untuk berpisah dengan Robert Albert.