UiTM FC menutup saingan Liga Super yang digantung akibat wabak koronavirus baru (Covid-19) dengan kemenangan pertama musim ini apabila menjinakkan PDRM 3-1 malam tadi.

Tiga pertemuan terdahulu menyaksikan UiTM hampir saja mencipta kejutan ke atas pasukan berstatus gergasi, Johor Darul Ta'zim dan Kedah.

Atas dasar itu, mereka sedar pertemuan dengan PDRM itu merupakan peluang keemasan untuk mendapatkan tiga mata pertama musim ini.

Hanya 12 minit untuk mereka memecah kebuntuan di Shah Alam menerusi sentuhan penyudah pemain import, Rabih Ataya, yang mencetuskan kekeliruan di benteng pelawat.

Empat minit sebelum tamat babak pertama, skuad kendalian Frank Bernhardt itu terus mencerahkan peluang untuk memastikan kemenangan hasil penalti yang disempurnakan Gustavo Almeida.

Dua gol lagi terhasil pada separuh masa kedua, bermula dengan UiTM apabila Zulkifli Zakaria meledak gol sejurus masuk dari bangku simpanan pada minit ke-83.

Bagaimanapun, kemenangan sempurna yang diburu The Lion Troops tidak berhasil apabila membenarkan The Cops menyumbat gol menerusi Eskandar Ismail dalam masa kecederaan.



"Sudah tentu saya gembira dapat memungut tiga mata tetapi ia sememangnya dijangkakan.

"Dua perlawanan sebelum ini kami berdepan pasukan mantap tetapi bagi perlawanan dalam zon penyingkiran ini, kemenangan ini amat penting.

"Ia amat bermakna buat kami untuk memecah kebuntuan kemenangan," kata pengendali dari Jerman itu kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.