Siapa sangka pasukan institut pengajian tinggi seperti UiTM FC mampu mengisi kelompok atasan Liga Super musim ini.

Perkara itu dibuktikan pasukan berkenaan selepas menewaskan salah sebuah pasukan gergasi negara, Terengganu FC (TFC), 2-1 di Shah Alam malam tadi.

Bagi ketua jurulatih, Frank Bernhardt, dia tidak kisah kedudukan akhir pasukannya dalam Liga Super musim ini sambil menegaskan sasaran utama mereka hanyalah untuk kekal dalam kejohanan divisyen utama itu tahun depan.

"Segala-galanya tidak mustahil tetapi bagi saya, apa yang penting pada hari ini adalah tiga mata," katanya dalam sidang media.

"Kerana saya pasti kami sudah tidak perlu lagi memikirkan mengenai penyingkiran (ke Liga Perdana) dan itu adalah sasaran utama kami.

"Kami akan menerima apa sahaja kedudukan kami.

"Tetapi sebelum itu, pemain kami memerlukan sedikit rehat dan kami akan melihat dari perlawanan ke perlawanan dan mengenai kedudukan dalam liga, kami akan menerima apa sahaja kedudukan kami," katanya.