Bernhardt mahu UiTM FC kekal rentak cemerlang

Oleh Muzaffar Musa 30 September 2020 142
Bernhardt mahu UiTM FC kekal rentak cemerlang
Ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt, berharap anak buahnya dapat mengekalkan corak permainan seperti dalam separuh masa kedua perlawanan menentang Selangor minggu lalu menjelang pertemuan dengan Petaling Jaya City FC dalam perlawanan Liga Super di laman sendiri malam esok.

UiTM mendahului Selangor 3-2 selepas ketinggalan 0-2 dalam separuh masa pertama minggu lalu.

Selangor bernasib baik apabila memperoleh sepakan penalti dalam waktu kecederaan yang disudahkan Ifedayo Olusegun.

Justeru, pengendali berbangsa Jerman berkenaan mahu pasukannya mengekalkan rentak permainan sama menjelang pertemuan dengan PJ City.

""Perancangannya adalah untuk bermain dengan cara yang sama seperti dalam separuh masa kedua perlawanan menenentang Selangor.

"Dalam separuh masa pertama, kami tidak bermain begitu baik.

"Kami perlu mengekalkan permainan seperti itu jika mahu menang dalam perlawanan kali ini," katanya.

Bernhardt turut berasa lega apabila pertahanan kanannya, Faizal Arif, semakin pulih daripada kecederaan.

Ia satu perkembangan penting memandangkan seorang lagi pemain di posisi itu, Danish Haziq Saipul Hisham, digantung perlawanan gara-gara mengumpul tiga kad kuning.

"Dia sudah mula berlatih bersama pasukan dan saya menjangkakan dia akan dapat diturunkan Jumaat ini.

"Kita akan melihat apa yang bakal berlaku. Kami perlu membuat kerja rumah dan menang dalam baki dua perlawanan demi memastikan kami menamatkan musim ini dengan positif," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen