Melaka akan membawa masuk dua penyerang import, Deshorn Brown dan Uche Agba, bagi memperkuatkan jentera serangan musim depan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li.

Secara dasarnya, kedua-duanya, Brown dari Jamaica dan Agba dari Nigeria, bersetuju untuk menerima tawaran bersama skuad Sang Kancil itu dan akan menandatangani kontrak minggu ini.

Katanya, Brown, pernah bermain dengan pasukan DC United dan Rapid Colorado dalam saingan Bolasepak Liga Utama (MLS) di Amerika manakala Agba, 33, merupakan bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mempunyai pengalaman bermain dalam Liga Malaysia.

"Kami sudah berfikir panjang dan membuat keputusan hanya akan menggunakan empat pemain import untuk musim ini selepas Patrick Reichelt tidak menyambung kontrak bagi kuota pemain Asia Tenggara.

"Kami mendapati ramai lagi pemain Malaysia yang baik dan berkualiti setanding pemain import Asia Tenggara, oleh itu kami putuskan akan mendapatkan pemain dari negara tersebut, sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan pasukan," katanya.

Sehingga kini, skuad kendalian ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan, itu telah mengumumkan kemasukan pemain import dari Colombia, Romel Morales Ramirez, selain mengekalkan pemain import Asia, Jang Suk-won dari Korea Selatan.

Sementara itu, Damian berkata pihaknya juga bercadang untuk mengadakan Piala Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob, sebagai perlawanan pramusim membabitkan penyertaan kelab-kelab negara jiran.

Katanya, kelab berkenaan adalah dari Indonesia, Thailand dan Singapura di samping Melaka sebagai persediaan menghadapi Liga Super musim 2020 dalam mencari persefahaman dan keserasian pemain.

"Kami akan mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Dr. Mohd Khalil bagi mendapatkan kebenaran beliau untuk menganjurkan pertandingan tersebut. Kami juga sedang menunggu pengesahan sekurang-kurangnya empat kelab untuk menghantar penyertaan," katanya.

-- BERNAMA