Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, mengesahkan skuad Red Giants akan mengadakan latihan pra-musim di Bangkok, Thailand sebagai persediaan menghadapi musim baru Liga Malaysia (Liga M) 2019.

Meskipun dihimpit dengan isu perebutan kuasa, FAS di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, tetap komited terhadap persediaan pasukan utama menjelang Liga Super 2019.

Skuad Merah Kuning akan mengharungi sekurang-kurangnya tiga aksi pemanas badan dengan kelab Thailand di Bangkok dari 10 hingga 16 Januari ini.

Sudah pasti, kunjungan mereka ke negara itu adalah untuk memantapkan lagi pasukan di bawah bimbingan pengendali baru, B. Sathianathan.

"Thailand adalah destinasi terbaik buat Selangor kerana kami bakal berdepan pasukan yang berkualiti bagi meningkatkan mutu permainan Selangor," kata Dr Johan.

Selangor juga akan mengadakan beberapa lagi perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan, antaranya PKNP FC di Manjung, Perak hujung minggu ini.

"Kami telah berdepan Pulau Pinang minggu lalu sebelum menhadapi PKNP. Ia adalah inisiatif yang diambil jurulatih untuk menguji barisan pemain sebelum berlepas ke Thailand," katanya lagi.