Baihakki mungkin sertai Kuala Lumpur

Oleh Penulis Jemputan 27 Disember 2017 4077
Baihakki mungkin sertai Kuala Lumpur
Pemain berpengalaman Singapura, Baihakki Khaizan, mungkin mengisi slot terakhir kuota import Asean pasukan Kuala Lumpur selepas skuad itu gagal mendapatkan pertahanan dari Indonesia, Achmad Jufriyanto.

Rundingan dengan Jufriyanto menemui jalan buntu ekoran tidak mendapat kelulusan Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Jeneral Edy Rahmayadi, untuk berhijrah ke Malaysia.

Keadaan itu memaksa jurulatih, Fabio Magrao, mencari alternatif dengan Baihakki menjadi pilihan.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, bahagian pertahanan tengah sememangnya menjadi keutamaan Kuala Lumpur pada masa ini.

"Beliau telah menandatangani kontrak dengan Persib Bandung. Jadi, kami terpaksa melepaskannya walaupun perjanjian hampir dimuktamadkan.

"Kami akan tengok siapa pemain yang ada. Setakat ini, saya lihat Baihakki pun seorang pemain yang baik," ujarnya.

Sementara itu, bagi isu Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, satu perlawanan persahabatan dengan PKNS akan diadakan Sabtu ini untuk menguji tahap lampu limpah serta kesediaan padang sebelum diperiksa Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

"Kalau ada aduan, kami akan lihat dan bincangkan dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) apa masalah yang pemain rasa.

"Sekurang-kurangnya kami dapat menambah baik. Pemain lebih tahu kerana mereka bermain di padang," ujarnya.

Selepas muncul juara Liga Perdana musim lepas, skuad warga kota itu mengambil langkah proaktif apabila berjaya mendapatkan nama-nama besar untuk musim 2018. 

Mengetuai senarai ialah bekas penyerang Perak, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, Indra Putra Mahayuddin dari Kelantan dan juga bekas pertahanan Pahang, Saiful Nizam Miswan.

Selain itu, Mohd Firdaus Faudzi dan Junior Aparecido Guimaro de Souza turut berada dalam senarai pemain baru Kuala Lumpur.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen