Pemain sayap Kuala Lumpur, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, menyambut baik jika pihak pengurusan skuad warga kota itu mengambil khidmat tonggak pertahanan Singapura, Baihakki Khaizan, untuk musim baru Liga Super.

Keyakinan Zaquan terhadap Baihakki adalah berlandaskan pengalamanya sendiri beraksi bersama bekas pemain Lions XII itu ketika di Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada 2015 dan 2016.

Bagi Zaquan, dengan 130 penampilan antarabangsa bersama Singapura, kehadiran Baihakki akan menambah keampuhan keseluruhan skuad Kuala Lumpur yang akan bersaing dalam Liga Super musim depan.

"Dia pemain terbaik untuk ASEAN. Dia boleh menggunakan pengalamannya untuk membantu rakan-rakan.

"Jika diberi peluang, dia dapat membantu daripada segi pertahanan Kuala Lumpur. Apa-apa pun keputusan terserah kepada pengurusan," ujarnya.

Dalam pada itu, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao, sedia mempertimbangkan kemasukan Baihakki jika pemain itu berminat bersama skuad warga kota, namun dia mahu berbincang dahulu dengan pihak pengurusan bagi mendapat gambaran lebih jelas.

"Saya perlu melihat jika dia berminat bagi mengisi posisi yang kami perlu. Sudah tentu dia boleh menyempurnakan pasukan kami," katanya.

Terdahulu, pertahanan Indonesia, Achmad Jufriyanto Tohir, merupakan pilihan awal Kuala Lumpur untuk kuota import ASEAN.

Tetapi selepas usaha membawa pemain Persib Bandung itu menemui jalan buntu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, semalam mengesahkan Baihakki kini antara calon yang disenaraipendekkan.