Pemain tengah negara, Baddrol Bakhtiar menerima positif keputusan jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, memilih skuad kebangsaan walaupun pada saat Kedah berada di kemuncak prestasi Liga Malaysia ketika ini.

Tegas Baddrol, kelibat Cheng Hoe dalam skuad negara memainkan peranan penting kerana jurulatih itu arif dengan kelibat pemain berpotensi yang layak menyarung jersi negara.

Tiada istilah kecewa dengan keputusan jurulatih itu, Badrol mengharapkan ilmu yang dicurahkan Cheng Hoe kepada pasukan Kedah segera diserap pemain selagi tiada arahan rasmi untuk beliau kembali ke pangkuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Ketiadaan Cheng Hoe yang kembali bersama skuad bola sepak kebangsaan, kami akan cuba meraih sebanyak ilmu daripada beliau bagi memastikan Kedah cemerlang musim ini," katanya.

Tegas Baddrol, walaupun Cheng Hoe kembali ke FAM dengan posisi yang sama seperti sebelum ini, dia yakin tanggungjawab jurulatih itu kali ini lebih besar untuk skuad kebangsaan.

"Tiada sebarang masalah, pemain dan jurulatih keluar masuk pasukan adalah perkara biasa."

Cheng Hoe yang juga merupakan orang kanan pengendali negara terdahulu, Datuk K. Rajagobal, turut membawa Malaysia merampas emas Sukan SEA 2009 selepas gagal berbuat demikian sejak 30 tahun lalu.

Kecemerlangan skuad kebangsaan diteruskan selepas Malaysia muncul juara Piala AFF pada 2010, namun tiada sebarang perubahan drastik selepas itu.