Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, yakin pasukannya mampu mengejar kedudukan tiga terbaik
liga walaupun ketika ini skuad Lang Merah menghuni tangga keenam Liga Super berbekalkan
12 mata.


Badrol tetap optimis pasukannya mampu melakar kedudukan terbaik sehingga ke penghujung musim walaupun Kedah kini dibezakan enam mata dengan pasukan yang berada di tangga ketiga, Pahang.

Keyakinan Badrol untuk meletakkan Kedah sekurang-kurangnya di kelompok tiga teratas sebaik tamat saingan musim ini tampak begitu positif, namun ia memerlukan kebangkitan dalam aksi selepas ini.

"Bagi saya, kedudukan tidak penting. Apa yang penting adalah meletakkan diri dalam kelompok tiga terbaik. Perlawanan masih banyak dan kami akan fokus untuk aksi seterusnya," kata Baddrol.

Sementara itu, kapten Pahang, Matthew Davies, jelas kecewa selepas Pahang gagal meraih tiga mata di laman sendiri.

Dia, yang melakukan penampilan pertama selepas direhatkan dalam dua aksi terdahulu, mengharapkan permulaan langkah kanan, namun ternyata nasib tidak memihak Pahang apabila sekadar seri 2-2 dengan Kedah.

"Kami tidak beraksi baik seperti sebelum ini tetapi inilah bola sepak. Bagi saya, kami berhak meraih lebih daripada satu mata," ujar Davies.