Azri pasang impian lebih besar bantu Kedah 

Oleh Shaiful Shamsudin 6 Oktober 2020 1133
Azri pasang impian lebih besar bantu Kedah 
Percaturan menurunkan penjaga gol ketiga Kedah, Mohammad Azri Abdul Ghani, membuahkan hasil selepas dia menonjolkan aksi terbaik dalam penampilan pertama sepanjang 90 minit apabila mematahkan setiap percubaan lawan daripada membolosi gawang.

Ketangkasannya membantu Kedah -- yang turun selaku tuan rumah di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi -- untuk melakar kemenangan tipis ke atas Melaka United dan gol tunggal Shakir Hamzah itu memacu wakil utara berkenaan ke tangga kedua Liga Super. 

Kejayaan itu bertambah manis apabila pemain berusia 21 tahun tersebut sudah lama tidak diberi kepercayaan sejak tiba dari Felda United musim lalu. 

Kecederaan yang menimpa dua penjaga gol utama, Ifwat Akmal Che Kassim dan Shahril Saa'ri, ketika bertemu Pahang dua minggu lalu mencerahkan laluannya untuk mencuri perhatian jurulatih Lang Merah, Aidil Shahrin Sahak. 

"Ramai pemain muda yang diserapkan dalam skuad ini. Mereka beraksi dalam situasi kompak dan berdisiplin sepanjang perlawanan. 

"Penjaga gol muda kami mencatat kemenangan tanpa bolos dan ia satu perkembangan yang menarik," kata pengendali itu. 



Azri tidak lagi mahu menoleh ke belakang apabila memasang tekad untuk terus mengukuhkan peranannya. 

"Sudah setahun saya tidak beraksi dalam perlawanan besar. 

"Saya berasa takut untuk menghadapi perlawanan pertama ini tetapi saya fikir main demi keluarga dan pasukan.

"Saya mahu terus beraksi dalam perlawanan terakhir Liga Super menentang Perak, selepas itu mengharungi kempen Piala Malaysia pula.

"Kalau boleh biarlah posisi ini menjadi milik saya," katanya. 






 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen