Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, menafikan keputusan mengejut Azmeer Yusof angkat kaki disebabkan hubungan dingin pemain itu dengan rakan sepasukan, pengurus itu menegaskan ia dibuat atas faktor komitmen peribadi pemain berusia 30 tahun itu.

"Pasukan berada di tahap terbaik, mereka saling memberikan nasihat kepada pemain-pemain terutama daripada pemain senior. Semestinya ketiadaan Azmeer akan memberikan kesan kepada pasukan setelah berkhidmat bersama pasukan sejak beberapa musim sebelum ini," kata Aidil.

Azmeer sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mengenai pengurusan gaji pemain.

Dia mengingatkan pemain yang bergaji besar supaya tidak terlalu boros dan berfikir mengenai masa depan.

Difahamkan, ia tidak disenangi sesetengah pemain Lang Merah ketika mereka berdepan masalah gaji.

Khamis lalu, dia mengumumkan pengunduran atas faktor ingin memberikan tumpuan kepada bidang perniagaan.

"Sebenarnya ayat pengunduran itu bermakna meninggalkan pasukan Kedah bukan daripada arena bola sepak. Saya bukan bersara tetapi hanya berehat seketika," kata Azmeer.

Mencapai persetujuan untuk penamatan kontrak sehingga Jun, dia menuntut tunggakan gaji dari Ferbuari hingga Mei dapat dilunaskan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).