Azmeer tamatkan kontrak dengan Kedah

Oleh Bernama 8 Julai 2020 447
Azmeer tamatkan kontrak dengan Kedah
Pemain pertahanan, Azmeer Yusof, mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) lebih awal bagi menumpukan kepada perniagaan yang diusahakannya di Kedah dan Kuala Lumpur.

Pemain berusia 30 tahun itu memaklumkan bahawa dia mahu fokus kepada perniagaan seluar sukan dan syarikat pembersihan sampah di Kuala Lumpur, selain kedai gunting rambut yang diberi nama AY Barber Shop di Alor Setar, ayang dimulakan sejak awal tahun ini.

Dia turut memaklumkan kesibukan menguruskan pembinaan Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di Alor Setar turut menjadi faktor utama dia menamatkan kontrak lebih awal dengan KFA yang sepatutnya berakhir pada penghujung tahun ini.

“Proses pembinaan pusat pengajian berkenaan termasuk pengambilalihan tanah memerlukan saya kerap turun ke tempat tersebut dan itu antara punca utama saya mengambil keputusan menamatkan kontrak lebih awal dengan KFA.

"Tiada masalah bayaran gaji dan sebagainya (dengan KFA),” katanya.

KFA menerusi hantaran terbaru dalam laman Facebook hari ini memaklumkan kedua-dua pihak sudah mencapai kata putus untuk penamatan kontrak lebih awal susulan permintaan daripada pemain itu.

Dalam pada itu, Azmeer tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan cadangan kembali ke saingan bola sepak tempatan sekiranya ketiga-tiga perniagaan berkenaan dapat diuruskan dengan baik oleh keluarga dan pekerjanya.

“Sekiranya kesemua perniagaan berkenaan memerlukan saya untuk selalu turun padang, mungkin saya akan bersara terus daripada arena bola sepak.

"Sekiranya ada tawaran untuk pengurusan pasukan, mungkin saya akan pertimbangkan, namun bukan sebagai pemain atau jurulatih,” katanya lagi.



Ditanya mengenai pencapaian cemerlangnya sejak bergelar pemain profesional pada 2009, Azmeer berkata kejayaan menjulang Piala Malaysia 2016 dan trofi Piala FA musim lalu merupakan antara detik manis yang tidak akan dilupakannya sepanjang bersama Kedah.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, yang berjaya mengesan bakat saya sebelum dia mengambil keputusan meminjamkan khidmat saya daripada pasukan Pos Malaysia FC kepada Negeri Sembilan pada 2012, sekali gus menaikkan nama saya dalam arena bola sepak tempatan,” katanya.

Azmeer memulakan karier profesional bersama Proton FC pada 2009 sebelum berhijrah ke beberapa pasukan termasuk Perak, Angkatan Tentera Malaysia, Kedah dan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen