Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, menyifatkan dua penyerang import Pulau Pinang, Mark Hartmann dan Sanna Nyassi, sebagai ancaman utama menjelang pertemuan dua pasukan itu dalam saingan Liga Super 2017, malam ini.

Menurutnya, dua sandaran pasukan lawan itu berkemampuan mengucar-kacirkan barisan pemainnya andai diberi banyak ruang untuk bergerak bebas di dalam kawasan berbahaya.

Pulau Pinang kini satu pasukan yang mantap di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan dengan membawa masuk beberapa pemain baharu.

“Selain menukar tiga pemain import, mereka turut menunjukkan peningkatan, termasuk menewaskan Melaka United dan Pahang sebelum ini.

“Perlawanan ini juga misi hidup mati Pulau Pinang dan beraksi di halaman sendiri bermakna mereka berada dalam semangat yang tinggi,” kata pengendali kelahiran Indonesia itu.

Sementara itu, Rahmad mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk menentukan tempat pemain sayap, Mohd Nor Hakim Hassan, dalam kesebelasan utamanya.

Nor Hakim, 26, kembali menyertai latihan bersama rakan-sepasukannya selepas menghilangkan diri dari kem The Titans, tiga minggu lalu, dan turut serta dalam kunjungan ke utara itu.

“Dia dah datang selepas perlawanan bertemu Pahang (9 September). Tengok sahaja nanti bagaimana situasinya,” tambah Rahmad lagi.