Latihan dan aksi persahabatan selama 10 hari di Australia seharusnya menjadi medan bagi pemain-pemain muda Bujang Senang untuk berubah menjadi matang, kata ketua jurulatihnya, David Usop.

Menurutnya, dengan fizikal pemain lawan yang berbadan besar, malah perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab ternama di wilayah barat negara itu, ia akan dapat menguji sepenuhnya kebolehan anak-anak buahnya.

"Dengan bertemu lawan yang bagus, kami dapat menilai kemampuan pemain yang sedia ada, dan bagaimana mereka menjadi lebih matang apabila bermain di bawah tekanan yang sebenar.

"Malah dengan saingan kompetetif seperti ini, kami akan dapat melihat bagaimana pasukan muda Ngap Sayot menyerap tekanan," katanya.

Skuad muda itu akan berlepas pada jam 7 malam ini ke Perth dan dijadualkan berhadapan dengan tiga kelab di kawasan tersebut termasuk Perth SC.

Malah difahamkan, skuad Ngap Sayot juga akan berpeluang bertemu dan bermesra dengan pemain lagenda dan jurulatih Sarawak era 1990-an, Alan Vest yang kini bermastautin di sana.

David berkata, peluang yang sama juga akan digunakan untuk mencari seorang pemain penyerang bagi mengisi satu lagi kuota import yang masih kosong.

Mengulas tentang aksi di negara kanggaru itu, dia berharap para pemain muda Sarawak yang pertama kali beraksi dalam skuad senior akan merebut sepenuhnya peluang yang diberikan.

"Pamerlah bakat dan bermainlah secara matang. Kami bermain di Liga Super - liga ternama di negara ini. Jadi kena bermain pantas, bermain dengan cara berfikir.

"Saya mahu mereka bermain dengan positif dan belajar daripada mereka yang berpengalaman," tegasnya lagi.

David berkata, dalam aksi persahabatan kelak, dia akan cuba untuk memberi peluang kepada semua pemain termasuk mereka yang kini sedang dalam proses pemulihan.

"Terdapat beberapa pemain yang cedera ekoran latihan pusat selama tiga minggu yang menggunakan padang tiruan sebelum ini.

"Bagi saya padang tiruan bukan gelanggang yang baik kerana menyakitkan dan boleh mendatangkan kecederaan. Malangnya kami tidak mempunyai pilihan.

"Saya berharap mereka boleh pulih segera. Namun saya tidak akan memperjudi sebarang risiko dan mereka mungkin bermain untuk tempoh kurang 10 minit. Biarlah mereka pulih sepenuhnya," jelasnya lagi.

Mengenai corak permainan skuad Ngap Sayot kelak David berkata, dia yakin dua pemain import baru akan dapat mengadaptasi corak permainan Sarawak.

"Kami sebenarnya ada 13 pemain musim lalu yang boleh beraksi sebagai kesebelasan utama. Jadi tidak perlu untuk kami berasa bimbang," katanya lagi.