Panggilan telefon berserta peluang menyertai Terengganu FC (TFC) mendorong Ahmad Syamim Yahya membuat keputusan untuk sekali lagi berguru dengan Irfan Bakti Abu Salim.

Untuk kembali ke pangkuan jurulatih berpengalaman itu, Syamim, 28, turut mengakui menolak tawaran empat pasukan Liga Super yang menagih khidmatnya musim depan.

Syamim beraksi di bawah bimbingan Irfan selama tiga musim bermula 2014 dan gandingan itu membantu Felda United muncul naib juara Liga Perdana ketika itu.

"Selain faktor jurulatih, saya juga pernah beraksi bersama majoriti pemain TFC, mungkin saya sesuai beraksi di sini.

"Saya akan memberikan segalanya kepada pasukan kerana hubungan akrab dengan jurulatih bukan jaminan untuk berada dalam kesebelasan utama," jelasnya yang juga bekas pemain T-Team.

Beraksi dengan Pahang pada 2017, Syamim kembali ke Jengka dengan menjuarai Liga Perdana di bawah kendalian B. Sathianathan dan sasarannya kini ialah membantu memperbaiki pencapaian TFC pada 2019.