Bekas tonggak T-Team, Mohd Asrol Ibrahim, masih belum mengalah untuk mencari tempat bersama pasukan baharu selepas kontraknya tidak disambung bagi saingan musim depan.

Pemain berusia 31 tahun itu terpaksa meninggalkan bumi Terengganu selepas tidak menerima tawaran untuk bersama Terengganu FC (TFC) I mahupun TFC II.

Turut senasib dengannya ialah rakan sepasukan, Badrul Hisham Morris, 30, yang berazam meneruskan karier bersama mana-mana pasukan sesuai.

Mengakui belum mendapat bayangan pasukan baharu itu, Badrul menegaskan dia tidak pernah terfikir untuk menggantung but kerana yakin masih mampu memberi sumbangan.

Malah, Badrul tidak menolak kemungkinan untuk berhijrah ke Lembah Klang sekali lagi bagi mencari pasukan sebelum tamat tempoh pendaftaran pemain.

“Pembubaran T-Team menyaksikan beberapa pemain terpaksa meninggalkan pasukan dan saya menerima situasi ini sebagai lumrah dalam bola sepak.

“Masing-masing harus membuat keputusan terbaik demi masa depan serta karier kami,” katanya.

Untuk rekod, Badrul pernah berkelana ke pasukan Lembah Klang, iaitu Sime Darby, pada 2011 manakala Asrol pada 2012 bersama pasukan sama, sebelum pulang ke pangkuan T-Team.