Dengan kira-kira sebulan sahaja lagi sebelum kempen Liga Malaysia (Liga M) 2019 membuka tirai, timbul desas-desus penaja utama, TM Unifi, mahu menarik diri.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, pasukan yang mengambil bahagian mungkin sudah boleh bersedia menghadapi implikasi, khususnya geran yang bakal berkurangan untuk musim 2019.

"Ketiadaan penaja utama ini akan memberi kesan kerana pasukan sedang membuat persiapan menghadapi musim baru yang bakal bermula tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Asmawi percaya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan pentadbir liga mempunyai perancangan tersendiri andai penaja utama mereka menarik diri.

Bagaimanapun, beliau turut berpandangan perlu ada lebih usaha daripada setiap pasukan untuk mencari penaja sendiri tanpa bergantung kepada geran yang diberikan oleh MFL, khususnya mereka yang dibelenggu isu tunggakan gaji.

"Perkara ini harus diselesaikan dalam kadar segera dan berharap ia tidak akan merencatkan perkembangan bola sepak negara," ujarnya.