Pertahanan Felda United, Ariff Farhan Md Isa, berwaspada dengan mengakui aksi Liga Super tanpa penonton menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin malam ini bukan jaminan untuk pasukannya mencatatkan keputusan positif ke atas juara bertahan itu.

Aksi tanpa penonton berkuat kuasa bagi kesemua perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) minggu ini susulan kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Sama ada tuah atau sebaliknya, Felda United mampu menguntumkan senyuman kerana mereka akan berdepan JDT tanpa penyokong tegar yang sering menjadi kekuatan tambahan buat skuad Harimau Selatan itu.

Namun, bekas pemain Harimau Muda itu berasakan ranjaunya tetap menanti skuad The Fighters itu dalam misi meraih sekurang-kurangnya satu mata.

"Kelebihan tidak memihak mana-mana pasukan sebab semua orang tahu JDT kebal di tempat sendiri.

"Jadi, kami datang bukan sekadar memenuhi jadual tetapi kami akan mencuba membawa pulang satu atau tiga mata," katanya.

Selepas melalui musim sukar gara-gara kecederaan lutut tahun lalu, Ariff Farhan mula tersenarai kembali dalam kesebelasan utama pasukannya musim ini.

"Sepanjang tiga perlawanan pertama, memang saya diletakkan dalam kesebelasan utama.

"Jadi, saya masih belum mencapai prestasi sebenar.

"Bagaimanapun, saya akan mencuba untuk mendapatkan semula prestasi saya," tambahnya.