Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, menggesa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) agar menjaga kebajikan pemain andai kongres luar biasa KAFA yang akan diadakan pada Khamis depan gagal mencapai keputusan positif.

Seolah-olah pasrah dengan situasi terkini yang dihadapi KAFA, itu tidak menghalang pemain senior itu menggesa jaminan daripada pasukan negeri kelahirannya itu.

Situasi KAFA yang semakin meruncing membuatkan pemain yang disapa Apek itu perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan walaupun hakikatnya mereka sudah pun memulakan sesi latihan sebagai persediaan menghadapi saingan musim 2017.

Tegas Apek, biar apa pun keputusan yang bakal diterima dalam kongres luar biasa nanti, KAFA perlu bertanggungjawab ke atas kebajikan pemain yang masih memiliki kontrak bersama pasukan yang pernah gah dengan jolokan The Red Warriors (TRW) itu.

"Sekiranya keputusan tidak memihak kepada pengurusan, mereka perlu menjaga kebajikan pemain-pemain.

"Ini kerana semua pasukan sudah mempunyai barisan pemain," katanya.

Masalah dalaman Kelantan bukan penghalang besar buat Khairul Fahmi untuk tampil berkesan di atas padang dan ia dibuktikan menerusi kejayaan anak jati
Kelantan itu merangkul Anugerah Penjaga Gol Terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan, semalam.

"Saya harap situasi ini tidak berlarutan.

"Saya harap Kelantan dapat mencari jalan penyelesaian untuk berada dalam Liga Super pada tahun hadapan."