Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, membuat kejutan pada saat akhir apabila mengetepikan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat, untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura di tempat lawan, Jumaat ini.

Khairul Fahmi yang mesra dipanggil Apek, diumum tidak menyertai skuad Harimau Malaysia ke Singapura, malam tadi.

Perkembangan itu menjadikan Apek sebagai pemain kelima diketepikan selepas Matthiew Davies, Ronny Harun, Nasir Basharuddin dan Ahmad Khuzaimi Piee yang masing-masing berdepan masalah kecederaan dan kecergasan.

Ditanya mengenai tindakannyan, ini reaksi Kim Swee: "Kita tahu Khairul Fahmi merupakan pemain tetap bersama pasukan kebangsaan.

"Ini peluang saya untuk mencuba dua lagi penjaga gol, Khairul Azhan (Khalid) dan Hafizul (Hakim Khairul Nizam). Saya harap mereka mengambil peluang ini untuk membuktikan prestasi masing-masing sebelum November nanti," jelas beliau ketika ditemui sebelum berlepas bersama 25 pemainnya ke Singapura, hari ini.

Pengendali berusia 46 tahun itu berharap perancangannya sebaik tiba di Kota Singa berjalan lancar, berbanding ketika kunjungan ke Solo, Indonesia tempoh hari yang menyaksikan beliau terpaksa membatalkan latihan kerana perjalanan yang panjang.

"Kami akan mengadakan latihan pada sebelah petang ini dan latihan rasmi di Stadium Nasional Singapura esok. Saya harap tiada masalah atau pun gangguan."