Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez, muncul calon paling layak untuk dinobatkan selaku Jurulatih Terbaik Liga Malaysia (Liga M) 2016 dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan, hari ini.

Gomez memiliki kriteria cemerlang untuk memenangi kategori jurulatih terbaik musim ini.

JDT terus mengekalkan status selaku juara bertahan dengan menjuarai Liga Super 2015, sekaligus menjadikan ia sebagai pencapaian hatrik selepas kali pertama dilakukan anak buah Gomez pada 2014.

Prestasi JDT turut membawa mereka beraksi dalam pusingan play-off kelayakan Liga Juara-Juara AFC 2017.

Bukan itu sahaja, pencapaian JDT turut melibatkan kecemerlangan mereka dalam saingan Piala FA dengan muncul juara selepas kali terakhir dilakukan Johor pada 1998.

Bagaimanapun, mengekori rapat di belakang Gomez ketika ini adalah jurulatih kelahiran Kedah, Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe mencipta kejutan mengatasi Selangor yang merupakan juara bertahan dalam pentas akhir Piala Malaysia, sekaligus berjaya meletakkan skuad Helang Merah sebagai barisan yang perlu diberikan perhatian bagi saingan musim depan.

Keberkesanan Cheng Hoe sejak mengambil alih Kedah pada 2014 menampakkan perubahan positif dalam skuad Hijau Kuning itu.

Turut mengisi senarai pencalonan bagi kategori jurulatih terbaik ialah Irfan Bakti Abu Salim, Mat Zan Mat Aris dan E. Elavarasan.