Konflik kepimpinan bola sepak Kelantan semakin menarik apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa serta merta berdasarkan sepucuk surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, petang tadi.

Annuar berkata, keputusan yang dibuat itu dengan hati yang berat tetapi ingin memberi peluang kepada calon lain yang difikirkan mampu mengangkat kecemerlangan bola sepak Kelantan sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh negeri-negeri lain.

“Saya sentiasa berkeyakinan Kelantan mampu mencapai apa yang orang lain capai asalkan anak Kelantan diberi peluang untuk berbuat demikian,” tulisnya dalam sepucuk surat yang dimuatkan dalam entri terbaharu laman sosial Facebook.

Desas-desus Annuar ingin melepaskan jawatan presiden KAFA makin kuat bertiup sejak minggu lepas lagi apabila beliau mengakui penat memikirkan masa depan dan hala tuju pasukan Kelantan yang sering dihimpit pelbagai masalah, terutama daripada aspek kewangan.

Annuar yang dianggap sebagai Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan diberi kepercayaan menerajui kepimpinan KAFA bagi penggal 2007/2010. Kemuncak kehebatan Kelantan apabila menjuarai Piala Malaysia dan naib juara Liga Super pada tahun 2010.