Selepas memuktamadkan isu penyerang utama, Muhammad Ghaddar, ke Johor Darul Ta’zim (JDT), Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan pihaknya akan mengadakan rundingan dengan penyerang Liga Lubnan, Abou Bakr El Mal, di Kota Bharu, esok.

Annuar, yang juga penaja utama skuad The Red Warriors (TRW) musim ini, memaklumkan berita gembira itu kepada seluruh penyokong TRW melalui laman Facebook miliknya, hari ini.

“Nama penuh, Abou Bakr El Mal. Nama panggilan, Bako. 25 tahun dan boleh beraksi di posisi pemain tengah menyerang, sayap dan penyerang. Dia akan tiba di Kota Bharu 12.30 esok. Insya-Allah," katanya.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, pihaknya menerima keputusan Ghaddar tetapi dalam masa sama sudah mengatur pertemuan dan memberi bayangan bintang baru bakal diikat TRW.

“Tak mengapalah dia nak pergi. Usaha kami tetap teruskan. Kami kirim tiket penerbangan supaya Bako terbang dan menemui saya malam esok.

“Kini beliau bersama skuad senior negaranya dan baru terpilih sebagai pemain terbaik liga tahun ini,” tambahnya.

Perkembangan menarik ini sudah tentu mengujakan peminat setia TRW dan berharap kehadiran penyerang muda Lubnan itu mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ghaddar bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia.