Pemain sayap lincah Selangor, Andik Vermansyah, memerlukan tempoh dua minggu untuk membuat keputusan mengenai masa depannya bersama Red Giants selepas mendapat tawaran beberapa pasukan dari dalam dan luar negara untuk saingan musim depan.

Andik adalah antara pemain Selangor yang hangat diperkatakan bakal angkat kaki selain Adam Nor Azlin, Raimi Mohd Noor dan pemain import yang lain.

Pemain berusia 26 tahun itu dikaitkan akan kembali ke tanah airnya dengan kemungkinan kembali ke pangkuan bekas pasukannya, Persebaya Surabaya, dalam saingan Liga Indonesia.

Tidak menafikan perkhabaran itu, Andik bagaimanapun belum memutuskan hala tujunya tahun depan.

"Saya masih pening (untuk membuat keputusan) kerana mempunyai tawaran daripada Indonesia dan Malaysia.

"Saya masih memerlukan dua minggu lagi untuk fikirkan.

"Peminat di Indonesia di dalam laman sosial selalu meminta saya untuk kembali ke sana.

"Lagipun, prestasi Persebaya semakin bagus.

"Kalau diikutkan, prestasi saya dianggap menurun kerana status saya sebagai pemain import di sini.

"Apapun, saya sangat bangga dengan pencapaian di sini," katanya yang sudah empat musim menabur bakti bersama Selangor sejak 2014.

Tetapi, kelibatnya musim ini kurang menyerlah gara-gara kecederaan lutut akhir tahun lalu yang menyaksikan dia tidak beraksi selama hampir setengah musim.