Bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Azmi Mohamed, sah dilantik sebagai jurulatih baru Felda United selepas kelab itu menerima peletakan jawatan Irfan Bakti Abu Salim secara rasmi hari ini.

Irfan mengumumkan meletak jawatan selaku pengendali The Fighters pada 24 September lalu susulan kegagalan pasukan itu meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Tatkala keputusan Irfan itu hanya dimuktamadkan dalam mesyuarat lembaga pengarah Felda United hari ini, kelab itu, bagaimanapun, sudah menyenarai pendek empat calon jurulatih baru.

Selain Azmi, bekas pengendali Selangor, Mehmet Durakovic, dan bekas pemain Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, turut berada dalam senarai.

Namun, Azmi menjadi pilihan berdasarkan beberapa faktor tertentu yang menjadi pilihan pengurusan kelab berkenaan.

"Pertamanya, kami ingin mengetengahkan jurulatih muda dan keduanya, dia merupakan anak Felda dari Kota Tinggi, Johor.

"Kami juga mengambil kira pengalamannya mengendalikan JDT II," jelas Setiausaha Felda, Zulkarnain Muhammad.

Kelab itu juga optimis terhadap keupayaan Azmi untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan Irfan meskipun berdepan musim lebih mencabar tahun depan beraksi di pentas Piala AFC.

"Kami menggabungkan barisan jurulatih lama bersama Azmi. Kami juga akan mengekalkan 60 peratus pemain dari musim lalu."

Azmi akan memulakan tugasnya secara rasmi dengan latihan pertama pada 21 November ini.

Sementara itu, Azmi ketika dihubungi Nadi Arena sedia menyahut cabaran untuk melunaskan misi skuad Felda merangkul sekurang-kurangnya satu piala musim depan dan memberi saingan hebat dalam kempen Piala AFC.

"Memang satu tekanan dan cabaran tetapi saya anggap ini perkara biasa yang perlu dihadapi dalam bola sepak.

"Jika kita lihat kualiti pasukan yang bertanding dalam Piala AFC tidaklah begitu jauh jika dibandingkan dengan pasukan dalam Liga Malaysia.

"Apa yang saya perlu tekankan ketika ini adalah membentuk pemain yang akan membawa cabaran dalam liga tempatan dan Piala AFC," katanya.