"Melaka bukan destinasi terakhir saya". Itu pengakuan penyerang baru Melaka United, Amri Yahyah, yang menyuarakan hasrat mahu mengakhiri karier di negeri kelahirannya, Selangor, suatu hari nanti.

Amri Yahyah yang sebelum ini beraksi bersama kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT), sah berhijrah ke kelab baru untuk saingan Liga Super musim depan dengan menyertai Melaka United.

Beliau yang ditemui ketika majlis menandatangani kontrak bersama Melaka semalam, berasakan peghijrahan kali ini adalah sesuatu yang mencabar buat dirinya.

Amri turut bertekad untuk menaikkan imej pasukan Melaka sebagai salah satu pasukan yang digeruni musim depan.

"Keputusan menyertai Melaka sememangnya mencabar kerana jangkaan tinggi yang diharapkan para peminat.

"Saya harap pasukan Melaka dapat memberi saingan sengit dalam Liga Super," ujar pemain kelahiran Tanjung Karang itu.

Sementara itu, dia turut mengakui bahawa Melaka bukanlah kelab terakhirnya sebelum bersara, malah menyimpan hasrat untuk kembali ke pangkuan Selangor.

"Saya memang menunggu untuk pasukan Selangor memberi saya peluang untuk bermain, tapi apakan daya, saya telah terlalu lama menunggu.

"Melaka telah melamar saya, sebab itu saya mengambil keputusan menyertai Melaka.

"Insya-Allah saya akan mempamerkan aksi yang lebih baik untuk membantu menaikkan imej Melaka dan saya harap pasukan Melaka akan digeruni.

"Bagi saya, Melaka bukanlah pasukan terakhir saya kerana saya berharap akan dapat kembali ke Selangor," katanya lagi.