Setahun menghilang akibat kecederaan lutut, bekas pertahanan negara, Amirizdwan Taj Tajuddin, sedang giat mencari pasukan baru untuk musim depan.

Digugurkan Terengganu sebelum musim baharu bermula, Amirizdwan bertekad mahu memadamkan memori hitam kekecewaan pada tahun depan.

Sedang jalani pemilihan bersama Felda United, dia berharap akan ada pasukan yang sudi menggunakan khidmatnya kerana masih yakin boleh beraksi di peringkat tertinggi.

"Keadaan saya sudah semakin baik, buat masa ini saya tidak mengalami sebarang masalah.

"Buat masa ini, saya masih mencari pasukan, sampai sekarang saya masih belum menandantangani kontrak dengan mana-mana pasukan," jelasnya.

Dalam masa sama, Amirizdwan sama sekali tidak fobia terhadap masalah kecederaan yang sering kali menimpanya selepas dua kali mengalami kecederaan ligamen.

Walaupun masih menjalani proses pemulihan, dia sudah memberi isyarat yang dia mampu berada di tahap seratus peratus sebelum liga bermula.

"Sementara saya tiada pasukan ini, saya masih menyambung proses pemulihan bagi memperkuatkan tubuh.

"Kalau ada pasukan yang mengambil khidmat saya, selepas itu baru saya dapat memberikan fokus terhadap pasukan," tambahnya.