Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengesahkan jurulatih, Eduardo Almeida, akan kekal bersama skuad Hang Tuah selama semusim lagi.

Menurutnya, pengurusan pasukan berpuas hati dengan prestasi Almeida yang berjaya memastikan Melaka kekal dalam Liga Super musim depan.

Jurulatih Portugis itu mengambil alih tugas daripada Eric Williams pada pertengahan musim dan berjaya menyerlahkan peningkatan pasukan.

"Bukan sahaja kami mahu meneruskan pengambilan pemain tetapi apabila kami membawa masuk Almeida, banyak perubahan positif yang berlaku. Kami yakin dia sesuai untuk Melaka.

"Maka, kami mahu membuat persediaan dengan lebih rapi dan setelah kami berbincang dengan Presiden MUSA, Datuk Seri Idris Haron, yang juga Ketua Menteri Melaka, kami bersetuju untuk menyambung kontrak Almeida setahun lagi," katanya.

Yusoff, yang juga pengurus pasukan Melaka, turut mengesahkan rombakan besar-besaran pasukan itu musim depan, dengan keutamaan diberikan kepada pemain berpengalaman dalam Liga Super.

"Tahun ini, kami akan melihat beberapa pemain yang ada karakter, sikap kepimpinan dan tentu sekali mempunyai kualiti Liga Super, untuk dibawa memperkuatkan pasukan pada musim depan," tambahnya.

Sejak mengambil alih Melaka, Almeida berjaya membimbing pasukan itu melakar tujuh kemenangan, namun mereka turut mengalami tujuh kekalahan selain seri dua kali.