Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, tidak menolak kemungkinan perlawanan Kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara 28 Mac depan di gelanggang berkecuali walaupun sudah mendapat pengesahan kerajaan berhubung keselamatan di Pyongyang buat masa ini.

"Setakat hari ini, tiada masalah kalau mengikut surat tersebut (daripada Wisma Putra).

"Walau bagaimanapun, surat tersebut juga menyatakan jika ada apa-apa perkembangan selepas ini, iaitu mungkin pada minggu ini atau minggu depan sebelum perlawanan pada 28 Mac ini, mereka akan memaklumkannya kepada FAM," katanya.

Kerajaan baru-baru ini menarik balik keistimewaan buat warga Korea Utara ke Malaysia tanpa memohon visa.

Ia susulan kes pembunuhan seorang warga Korea Utara yang dipercayai abang tiri kepada pemimpin negara itu, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Dalam pada itu, penolong jurulatih kebangsaan, Hassan Sazali Waras, mengakui jika diberi pilihan dia mahu perlawanan diadakan di gelanggang berkecuali.

Meskipun begitu, Hassan menegaskan skuad negara akan mengikut ketetapan yang ditentukan FAM berhubung perlawanan dengan Korea Utara.

"Saya menyerahkan perkara ini kepada pihak pengurusan bagi mereka menjalankan tugas dalam menjamin faktor-faktor keselamatan bagi pasukan negara yang akan menentang Korea Utara kelak.

"Saya lebih suka kalau kami mengadakan perlawanan di Beijing mahupun Shanghai, itu bagi saya lebih selamat," ujarnya.