Jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, mengakui pasukannya banyak melepaskan peluang terhidang di depan gol ketika kekalahan 0-1 kepada Perak dalam Liga Super di Ipoh, semalam.

"Pada separuh masa kedua, kami bermain lebih baik dan mendapat peluang keemasan yang tidak disempurnakan dengan baik.

"Dalam tempoh itu, kami mengawal keseluruhan perlawanan," katanya.

Perak turun tanpa beberapa tonggak yang direhatkan untuk perlawanan separuh akhir Piala Malaysia tatkala pasukan tangga tercorot liga, Pulau Pinang, hanya bermain untuk maruah pasukan mereka.

Walaupun tanpa kelibat beberapa tonggak, Perak tetap berupaya mengawal sebahagian besar perlawanan babak pertama.

"Ia bukan mudah. Selepas melakukan banyak pertukaran, iaitu lapan atau sembilan pemain, mereka melakukan tugas dengan baik kerana mendapat tiga mata.

"Kini, pemain perlu berehat. Saya sangat gembira dengan persembahan pemain pada malam ini (malam tadi)," kata jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.

Skuad tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-24 apabila Nizad Ayub berjaya menyudahkan umpanan Thiago Aquino.

Perak terus mendominasi baki babak pertama, namun gagal menambah jaringan. Separuh masa kedua menyaksikan pelawat mula mengubah taktikal perlawanan apabila memasukkan penyerang Filipina, Mark Hartmann.

Tetapi, walaupun kerap menguji benteng Perak, Pulau Pinang tetap gagal meraih gol penyamaan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

Kekalahan ini turut mengesahkan penyingkiran Pulau Pinang ke Liga Perdana pada musim depan.