Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, berpendapat bahawa pasukannya patut menewaskan Selangor dalam aksi di Stadium Shah Alam, malam tadi, namun terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2.

PKNS dilihat menguasai perlawanan, terutamanya dalam babak pertama sehingga membolehkan Rafael Ramazotti menyumbat gol pembukaan pada minit ke-18.

Dua gol Selangor dalam tempoh 10 minit dalam separuh masa kedua menerusi Rufino Segovia dan D. Kugan hampir menghampakan PKNS, namun Ramazotti muncul wira apabila menanduk masuk gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan.

Bagi Rajagobal, mungkin keputusan akan berakhir berbeza sekiranya PKNS lebih bijak menggunakan kesempatan dalam babak pertama.

"Kami menetapkan satu pemikiran dan saya memberitahu pemain-pemain bahawa kami harus menang. Perlawanan bermula dengan baik dan sepatutnya babak pertama lebih memudahkan kami," kata Rajagobal.

Dalam masa sama, ketua jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir, mengakui kecewa selepas tiga mata yang hampir diraih akhirnya lebur akibat jaringan di penghujung perlawanan oleh pihak lawan.

"Di penghujung aksi, tiga mata tampak berpihak kepada Selangor tetapi inilah bola sepak. Segalanya boleh berlaku sehingga belum tamat 90 minit," ujar Nazliazmi.