Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, percaya kehadiran pemain tengah negara, Akram Mahinan, mampu memberikan dimensi berbeza buat pasukannya dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

PKNS merupakan pasukan yang berwajah baru bagi menghadapi Liga-M, musim depan.

Ia menerusi pengambilan pemain-pemain muda yang rata-rata di bawah umur 30 tahun sambil turut diperkuat tonggak import berpengalaman.

Akram adalah antara muka baru yang akan memperkuatkan The Red Ants, musim depan.

Bagi Rajagobal, kehadiran bekas tonggak Kedah itu bakal memberikan dimensi baru buat pasukannya.

"Akram mampu memberikan dimensi berbeza buat PKNS.

"Saya yakin kehadirannya akan meningkatkan keyakinan pasukan," katanya

Akram membuktikan keupayaannya menggalas tanggungjawab besar menerusi aksi meyakinkan bersama skuad Harimau Malaya dalam Piala Suzuki AFF, baru-baru ini.

Dia kini diberikan ruang untuk berehat selepas mengerah keringat untuk skuad kebangsaan.

Bagi Rajagobal, pasukannya kini sudah hampir sempurna dan hanya mempunyai beberapa kekosongan di posisi tertentu yang perlu dipenuhi

"Kami masih mempunyai beberapa posisi yang perlu diisi.

"Ia merangkumi pemain tempatan dan import," tambahnya.