Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, seakan-akan memberikan isyarat kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) agar menawarkannya kontrak yang lebih baik dalam membuat keputusan untuk kekal bersama skuad Lang Merah itu musim depan.

Selepas membawa Kedah muncul naib juara Liga Super musim ini dan layak beraksi di pentas Piala AFC musim depan, pengendali itu masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya dan bersikap terbuka untuk berunding dengan mana-mana pasukan yang ingin mendapatan khidmatnya.

"Saya fikir soalan ini sudah diajukan sejak sebulan lalu," katanya dalam sidang media selepas menewaskan Perak 3-2 dalam perlawanan terakhir malam tadi.

"Inysa-Allah, saya akan mencuba untuk mengadakan pertemuan dengan KFA secepat mungkin. Kita akan melihat apa yang terbaik.

"Seperti yang saya katakan, hati saya sentiasa berada di Kedah. Saya sayangkan pemainnya, penyokongnya dan pegawai di pejabat.

"Semestinya, jika anda tanya, hati saya 80 hingga 90 peratus sentiasa untuk bersama Kedah tetapi kami masih perlu duduk bersama dan saya perlu mengetahui apakah perancangan bagi musim depan dan dua musim depan.

"Ia amat-amat penting untuk masa depan saya dan saya juga perlu mengetahui apakah perancangan kelab ini.

"Jadi, kami memerlukan satu kombinasi yang baik untuk mencapai kesepakatan dan harap-harap kami dapat menyelesaikannya," katanya.

Ditanya bagaimana jika ada pasukan lain mahukan khidmatnya, Aidil Sharin menambah: "Insya-Allah, anda tahu saya sentiasa terbuka dengan perkara sebegitu kerana saya mahukan organisasi dan visi yang baik dan boleh mengembangkan karier saya sebagai jurulatih muda.

"Jadi perkara itu amat penting kerana dalam bola sepak, sebagai jurulatih, apabila anda melakukan sesuatu yang baik, semua orang mahukan anda tetapi jika tidak, semua orang akan menendang anda.

"Saya seorang profesional dan sentiasa mahukan yang terbaik dan Insya-Allah, saya akan mendapatkan yang terbaik," katanya lagi.